Bacalah Walau Sedetik


Random Hadith Widget

Wednesday, October 19, 2011

LAKSA PENANG

Resepi ni untuk 30 orang makan-Ummi buat untuk Port Luck JMSK sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri hari tu, hari ni baru sempat up-load dalam blog, sibuk nak validasi 44........... 

Laksa Penang

Bahan-bahanya:
2 bungkus laksa kering direbus & ditoskan (Jenis halus)
1.5kg ikan kembong/sardin direbus kosong, dibuang tulang & dikisar
0.5 inci belacan
3 kuntum bunga kantan dibelah 4
10 batang daun kesum diambil daunnya
10 keping asam gelugor/asam keping
6 biji bawang merah besar dikisar
Air secukupnya
Garam & gula secukup rasa
Sedikit bahan perasa

Ummi rebus ikan dalam kuali aje..

Bahan untuk ulam/sampingan:
10 biji telur ayam direbus dikupas & dibelah 4
2 biji timun dihiris halus
1/2 biji nenas dikupas & dihiris halus
15 biji limau kasturi dibelah 2
1/2 biji bebola daun salad dihiris halus
6 biji lada merah dihiris halus
1 biji bawang besar holland dihiris halus.

Cara Membuatnya:
1. Masukkan ikan & bawang kedalam periuk, tambahkan air secukupnya, Hidupkan api, kacau sekali-sekala hingga mendidih.
2. Masukkan daun kesum, bunga kantan, asam keping, garam, gula & bahan perasa secukupnya.
3. Kacau sekali-sekala hingga kuah pekat.
4. Sedia untuk dimakan bersama laksa & ulam-ulam diatas.

*Kuah Laksa lagi sedap kalau dibiarkan semalaman & dididihkan balik....

Tuesday, October 18, 2011

DADIH

Dadih

DADIH VERSI 1 (SUSU TEPUNG)

Bahan-bahanya:
20 gm agar-agar kering
3.5 liter air
3 cawan susu tepung (Ummi guna Dutch lady honey)
500 ml air suam untuk bancuh susu tepung
1.5 cawan gula putih 
1/2 sudu teh garam
Perwarna makanan/Perwarna untuk perisa air contonya sirap, anggur, pandan, vanilla dll

DADIH VERSI 2 (FRESH MILK)

Bahan-bahanya:
20 gm agar-agar kering
3 liter air
1 liter fresh milk Dutch Lady
1.5 cawan gula putih
1/2 sudu teh garam
Perwarna makanan/air

Bes Perisa anggur, pandan, ros & perisa vanilla

Cawan yang digunakan untuk menyukat susu tepung & gula

Agar-agar kering direbus hingga larut sepenuhnya

Cara Membuatnya:
1. Rebus agar-agar dengan air sehingga larut sepenuhnya.
2. Masukkan susu tepung yang telah dibancuh/ fresh milk bersama gula. Kacau hingga larut & susu mendidih.
3. Bahagikan adunan kepada 4 bahagian  yang berasingan.
4. Letakkan setiap bekas dengan perisa/pewarna yang dikehendaki.
5. Tuangkan kedalam acuan & sejukkan.
6. Simpan kedalam peti ais & sedia untuk dimakan.

PUDING SWEET CORN

Sebenarnya minggu ni terasa nak makan kuih tako, p la cari tepung Hoen Kwee kat Billion, habis pulak, cari pulak kat Yat Fong's & Herbs, yang ada hanyalah warna kuning & merah, jadi masa tu Ummi tukar plane dari Kuih Tako ke Puding Jagung.....maka hasilnya seperti dibawah...jom kita sama-sama cuba..

Puding Sweet Corn


Bahan-bahanya:
1 botol tepung Hoen Kwe warna kuning (Nona -100gm)
1 tin sweet corn (Ayam Brand - 425gm)
200ml santan segera
1 cawan gula putih
1/2 sudu teh garam
450ml air

Cara Memasak:
1. Campurkan semuanya kedalam periuk.
2. Masak dengan api yang sederhana, kacau hingga likat & berkilat .
3. Perlahankan api apabila adunan hampir likat supaya tak hangus dibawah, sentiasa kacau sehingga sangat likat, pekat & berkilat. Tuang adunan kedalam acuan & sejukkan.
4. Apabila dah sejuk bolehlah masukkan kedalam peti ais.
5.Potong kepada bentuk yang dikehendaki & bolehlah dihidang.

Thursday, October 13, 2011

IKAN KERISI GORENG BAWANG PUTIH

Ikan Kerisi Goreng Bawang Putih
Bahan-bahannya:
2 ekor ikan kerisi dikelar & dibuang sisik (boleh digantikan dengan ikan bersisik yang lain seperti talapia/siakap)
10 biji bawang putih ditumbuk kasar
Sedikit lada sulah
Garam secukupnya
Sedikit bahan perasa
Minyak untuk menggoreng

Ikan kerisi yang telah diperap

Bawang putih lebihan perapan yang telah digoreng

Cara Memasak:
1.Perapkan ikan kerisi dengan bawang putih, lada sulah, garam & sedikit bahan perasa selama 15-30 minit.
2.Panaskan minyak, goreng ikan tadi hingga garing. Angkat & ketepikan.
3.Lebihan perapan ikan tadi digoreng asing dengan api yang perlahan sehingga kekuningan.
4.Tabur bawang putih goreng tadi diatas ikan. Sedia untuk dihidang. 

Thursday, October 6, 2011

JELANTAH

Jelantah
Bahan-bahannya:
1 biji timun dipotong nipis
2 jurai nenas dipotong nipis
2 biji cili merah dipotong serong
1 biji bawang besar holland dimayang
Sedikit cuka
garam & gula secukup rasa
Sedikit air


Cara Membuatnya:
1. Bancuh cuka bersama air, garam & gula hingga larut.
2. Gaulkan semua bahan-bahan diatas hingga sebati.
3. Sedia untuk dihidang.

AYAM MASAK MERAH

Ayam Masak Merah


Bahan-bahannya:
1 ekor ayam dipotong 16, digaul bersama garam, kunyit, &  sedikit bahan perasa , digoreng hingga masak.
3 ulas bawang putih diketuk
1 batang serai diketuk
1 biji bawang besar merah dimayang
5 biji bawang besar holland dikisar
2 biji tomato dikisar
1 inci lengkuas dikisar
1 inci halia dikisar
15 tangkai cili kering dikisar@ 5 sudu besar cili boh/ cili merah giling
1 keping gula melaka @ gula secukup rasa
Minyak untuk menumis
Sedikit air
garam secukup rasa
sedikit bahan perasa


Cara Memasak:
1. Panaskan minyak, tumis bawang merah yang telah dimayang bersama bawang putih hingga naik bau.
2. Masukkan semua bahan kisar bersama cili giling, kacau sehingga pecah minyak.
3. Tambahkan sedikit air masukkan garam, gula, bahan perasa & serai. Kacau sehingga pekat.
4. Masukkan ayam, gaul sehingga sebati.
5. Sedia untuk dihidang.
6. Boleh dihiaskan dengan daun bawang & daun sup diatasnya.

DALCA RANGKA AYAM


Dalca Rangka Ayam
Bahan-bahannya:
1 ekor rangka Ayam + kaki Ayam (dipotong kecil)
1 biji santan kelapa
1.5 paket serbuk kari Ayam/daging (bancuh dengan sedikit air)
5 batang kacang panjang dipotong sepanjang 1 inci
1 batang carrot di potong memanjang
2 biji ubi kentang dibelah 4@6
1 sudu besar cili giling
1 inci halia dikisar
2 biji bawang merah besar dikisar
1 ulas bawang putih dikisar
1/2 biji bawang merah besar dimayang
1 batang kulit kayu manis
5 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
sedikit air asam jawa/ 1 keping asam gelugor
Garam & gula secukup rasa
Sedikit bahan perasa
Minyak untuk menumis


Cara Memasak:
1. Tumis bawang merah yang dimayang bersama kulit kayu manis, buah pelaga & bunga lawang sehingga naik bau.
2. Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar seperti, bawang merah, bawang putih, & halia bersama cili giling & serbuk kari. Kacau sehingga pecah minyak.
3. Masukkan santan , rangka ayam dan bahan perasa lain seperti garam, gula, asam keping & perasa. Kacau sehingga mendidih.
4. Masukkan semua bahan sayuran seperti ubi kentang, carrot, kacang panjang dll. (boleh juga diletakkan terung & nenas).
5. Kacau selama 5 minit, tutup api & sedia untuk dihidang.

Wednesday, September 28, 2011

NASI MINYAK HUJAN PANAS

Nasi Minyak Hujan Panas


Bahan-bahannya:
4 pot beras, dicuci & ditoskan
1 biji bawang besar holland dihiris dadu
2 kuntum bunga lawang
1 batang kulit kayu manis
5 biji buah pelaga
1/2 cawan kismis
3 sudu besar minyak sapi/marjerin/planta/minyak masak/minyak zaitun
2 jenis perwarna (ikut suka warna apa)
Air secukupnya
Bawang goreng & daun bawang untuk hiasan


Nasi yang baru masak dititiskan dengan perwarna


Cara Memasak:
1. Cairkan minyak sapi/marjerin/planta, tumis bawang besar bersama bunga lawang, kulit kayu manis & buah pelaga sehingga naik bau.
2. Masukkan beras bersama kismis & air secukupnya.
3. Pindahkan periuk ke dalam rice cooker, tekan, tunggu hingga naik/ masak.
4. Apabila nasi dah masak titiskan perwarna ke atasnya. Gaul hingga rata.
5. Taburkan bawang goreng & daun bawang ke atasnya.
6. Sedia untuk dihidang


# Sedap dimakan bersama Ayam masak merah+Dalca+Jelantah@
# Sedap dimakan bersama Gulai Ayam+Acar Timun+Sambal Belacan.

Thursday, September 8, 2011

SUP AYAM TOMATO


Sup Ayam Tomato
Bahan-bahan:
Ayam bahagian tulang (kaki ayam, rangka ayam + isi kalau suka dll)
2 biji tomato dipotong dadu
1 bungkus rempah sup bunjut
2 kuntum bunga lawang
1" kulit kayu manis
1" halia diketuk
3 kuntum bunga cengkih
5 biji buah pelaga
5 ulas bawang putih diketuk
2 biji bawang besar dikisar halus
Sedikit serbuk lada hitam
Air untuk rebusan secukupnya
Garam & gula secukup rasa
sedikit bahan perasa
Minyak untuk menumis


Bahan untuk hiasan:
Daun sup
Daun bawang
Bawang Goreng


Cara Membuatnya:
1. Panaskan minyak, tumis bawang putih bersama bunga lawang, kulit kayu manis, buah pelaga, & bunga cengkih sehingga naik bau.
2. Masukkan bawang besar, tumis sehingga masak, masukkan tomato, kacau sehingga layu.
3. Masukkan air, ayam serta bahan-bahan yang lain seperti halia, gula, garam, bahan perasa, serbuk lada hitam & sup bunjut. Biarkan sehingga mendidih.
4. Siap untuk dihidang & dihiaskan dengan daun sup, daun bawang & bawang goreng. Kalau suka boleh letakkan hirisan cili padi & perahan air limau nipis.


* Sedap dimakan bersama nasi ayam tomato @ nasi putih.

Wednesday, September 7, 2011

NASI AYAM TOMATO

Nasi Ayam Tomato
Bahan-bahannya:
5 pot Beras (dibasuh & ditoskan)
Air rebusan ayam secukupnya (Rebus ayam+halia+bawang putih+air)
2 biji tomato dipotong dadu
1 biji bawang besar dipotong dadu
2 kuntum bunga lawang
1 " kulit kayu manis
5 biji buah pelaga
2 kiub ayam
marjerin untuk menumis


Bahan untuk hiasan
1 biji tomato, diambil kulit & dibentukkan bunga ros/ dihiris nipis bulat
1 biji timun dihiris serong
Bawang goreng


Cara membuatnya:
1. Cairkan marjerin/planta, tumis bawang besar bersama bunga lawang, kulit kayu manis & buah pelaga sehingga naik bau. (diatas dapur gas guna periuk rice cooker)
2. Masukkan tomato, kacau sehingga layu.
3. Masukkan beras,  air rebusan ayam secukupnya.
4. Tambahkan 2 kiub ayam/ bahan perasa
5. Tutup api & pindahkan periuk nasi ke dalam rice cooker.
6. Buka suis, tekan cook, biarkan sehingga masak.
7. Sendukkan ke dalam pinggan, hiaskan dengan timun, tomato & bawang goreng.


*Nasi Ayam tomato sedap dimakan bersama dengan: Sup Ayam Tomato, Ayam madu blackpaper, Sambal tomato & Kicap perahan limau nipis.
                                                                                
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...